Risiko barah paru-paru

04 April 2021

by MyMetro
Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa
Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa

 

Kuala Lumpur: Kajian mendapati ubat nyamuk lingkaran mengandungi beberapa bahan kimia yang boleh menjejaskan kesihatan paru-paru.

Ia mengandungi bahan kimia seperti octachlorodipropyl ether (S2) dan bis (chloromethyl) ether (BCME).

Ia bahan karsinogen (penyebab barah) yang boleh menjadi punca barah paru-paru. 

Pakar Perunding Perubatan dan Paru-Paru Pusat Perubatan Sunway Velocity, Kuala Lumpur, Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa berkata, individu yang terdedah asap ubat nyamuk lingkaran dalam jangka masa panjang, berisiko menghidap barah paru-paru.

"Bahan kimia ini juga boleh menyebabkan penyakit sumbatan paru-paru kronik Chronic Obstructive Pulmonary Disease (COPD).

"Tidur dalam bilik bertutup, sambil memasang ubat nyamuk lingkaran boleh merosakkan paru-paru, kesannya seperti menghisap 51 rokok. 

"Terdapat bahan kimia berbahaya dihasilkan asap lingkaran ubat nyamuk seperti formaldehyde.  Bahan kimia ini boleh melemahkan paru-paru dan merosakkan struktur pernafasan," katanya.

Semalam, laporan muka depan Harian Metro mendedahkan pelbagai keburukan menggunakan ubat nyamuk lingkaran tidak berdaftar namun masih ramai menggunakannya kerana harga murah.

Beliau berkata, berdasarkan kajian di Taiwan yang dijalankan terhadap 147 pesakit barah paru-paru, asap ubat nyamuk lingkaran adalah 2.7 kali ganda lebih tinggi dikaitkan dengan kes barah  paru-paru, berbanding individu tidak menggunakan ubat nyamuk lingkaran.

"Asap ubat nyamuk lingkaran juga dikaitkan dengan pencemaran udara di dalam rumah yang boleh mengakibatkan kerosakan saluran pernafasan dan paru-paru. 

"Satu lagi kajian dijalankan di Shanghai, China. Ia dilakukan untuk melihat keadaan pekerja kilang ubat nyamuk lingkaran yang terdedah asap ubat nyamuk berkenaan selama sembilan tahun bekerja.

"Mereka didapati menghidap barah paru-paru jenis small cell lung cancer," katanya.

Dr Nurul Yaqeen berkata, tiga kajian dijalankan di Hong Kong mendedahkan 12 hingga 14 peratus orang dewasa terdedah kepada pencemaran udara di dalam rumah akibat daripada asap ubat nyamuk lingkaran.

Katanya, kandungan bahan karsinogenik seperti Benz(a)anthracene dan Benzo(k)fluoranthene juga meningkat di dalam udara, ia terhasil daripada asap ubat nyamuk lingkaran. 

"Kajian ini menunjukkan kanak-kanak yang terdedah asap ubat nyamuk lingkaran mempunyai masalah batuk berkahak lebih tinggi iaitu 20 peratus berbanding kanak-kanak tidak terdedah kepada asap ubat nyamuk lingkaran (10 peratus).

"Cara mengelakkan gigitan nyamuk dan selamat untuk paru-paru ialah dengan menggunakan kelambu," katanya.

   返回